Malay Quran | Baca Al-Quran

Chapter 90 (Sura 90)
1; Aku bersumpah dengan negeri (Mekah) ini;
2; Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas),
3; Demi manusia yang melahirkan zuriat dan zuriat yang dilahirkannya;
4; Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);
5; Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)?
6; Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut dia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa).
7; Adakah dia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu?
8; (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?)
9; Dan lidah serta dua bibir (untuk dia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?
10; Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?
11; Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan;
12; Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?
13; (Di antara amal-amal itu bagi orang yang mampu) ialah: Memerdekakan hamba abdi;
14; Atau memberi makan pada hari kelaparan –
15; Kepada anak yatim dari kaum kerabat,
16; Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.
17; Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, dia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.
18; (Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).
19; Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. –
20; Mereka ditimpakan (azab seksa) Neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).

Pages ( 90 of 114 ): « Previous1 ... 8889 90 9192 ... 114Next »