Malay Quran | Baca Al-Quran

Chapter 75 (Sura 75)
1; Aku bersumpah dengan hari kiamat;
2; Dan Aku bersumpah dengan “Nafsul Lawwaamah” (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!
3; Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)?
4; Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).
5; (Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga dia tidak mengakui adanya hari kiamat).
6; Dia bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari kiamat itu?
7; Maka (jawabnya: Hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut),
8; Dan bulan hilang cahayanya,
9; Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama,
10; (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): Ke manakah hendak melarikan diri?
11; Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan!
12; Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.
13; Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang dia telah lakukan dan apa yang dia telah tinggalkan.
14; Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,
15; Walaupun dia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).
16; Janganlah engkau (wahai Muhammad) Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).
17; Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);
18; Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;
19; Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan).
20; Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya.
21; Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).
22; Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;
23; Melihat kepada Tuhannya.
24; Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh,
25; Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan.
26; Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong,
27; Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?
28; Dan dia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan;
29; Serta kedahsyatan bertindih-tindih;
30; (Maka) kepada Tuhanmulah pada waktu itu engkau dibawa (untuk menerima balasan).
31; (Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka dia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan meyakininya) dan dia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardhukan mengerjakannya)!
32; Akan tetapi dia mendustakan dan berpaling ingkar!
33; Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah.
34; (Wahai orang yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat!
35; Kemudian api Nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak.
36; Patutkah manusia menyangka, bahawa dia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?
37; Bukankah dia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)?
38; Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)?
39; Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis lelaki dan perempuan.
40; Adakah (Tuhan yang menjadikan semuanya) itu tidak berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati? (Tentulah berkuasa)!

Pages ( 75 of 114 ): « Previous1 ... 7374 75 7677 ... 114Next »