Malay Quran | Baca Al-Quran

Chapter 37 (Sura 37)
1; Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret –
2; (Hamba-hambaKu) yang melarang (dari kejahatan) dengan sesungguh-sungguhnya –
3; (Hamba-hambaKu) yang membaca kandungan Kitab Suci;
4; (Sumpah demi sumpah) sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Satu –
5; Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari.
6; Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang.
7; Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka;
8; (Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru,
9; Untuk mengusir mereka dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus.
10; Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka dia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi.
11; (Setelah nyata kekuasaan Kami) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka (yang ingkarkan hidupnya semula orang-orang mati): Adakah diri mereka lebih sukar hendak diciptakan atau makhluk-makhluk lain yang Kami telah ciptakan? Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula).
12; (Pertanyaan itu tidak juga berfaedah kepada mereka) bahkan engkau merasa hairan (terhadap keingkaran mereka) dan sebaliknya mereka mengejek-ejek (peneranganmu).
13; Dan apabila diperingatkan, mereka tetap tidak mahu menerima peringatan itu.
14; Dan apabila mereka melihat sesuatu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami dan kebenaranmu), mereka mencari-cari jalan memperolok-olokkannya, –
15; Serta mereka berkata: Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata.
16; Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan dibangkitkan hidup semula?
17; Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu (akan dibangkitkan hidup semula)?
18; Jawablah (wahai Muhammad): Ya, benar !(Kamu semua akan dibangkitkan) dengan keadaan hina-dina.
19; (Kebangkitan ini mudah) kerana sesungguhnya ia boleh berlaku hanyalah dengan suara sahaja, maka dengan serta mereka semuanya (bangkit) melihat (apa yang akan jadi).
20; Dan (pada saat itu) mereka berkata: Wahai celakanya kami, ini ialah hari balasan!
21; (Lalu malaikat berkata kepada mereka): Ini ialah hari memutuskan hukum untuk memberi balasan yang dahulu kamu mendustakannya.
22; (Allah berfirman kepada malaikat): Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah –
23; Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke Neraka.
24; Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal:
25; Mengapa kamu tidak bertolong-tolongan (sebagaimana yang kamu dakwakan dahulu?
26; (Mereka pada ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa) bahkan mereka pada hari itu menyerah diri dengan hina (untuk diadili);
27; Dan masing-masing pun mengadap satu sama lain, sambil kata mengata dan cela mencela.
28; Pengikut-pengikut berkata (kepada ketuanya): Sesungguhnya kamu dahulu selalu datang menyekat kami (daripada beriman) dengan menggunakan kuasa kamu.
29; Ketua-ketuanya menjawab: (Tidak!) Bahkan kamulah sendiri tidak mahu menjadi orang-orang yang beriman!
30; Dan kami (selain daripada mengajak kamu (tidak mempunyai sebarang kuasa memerintah kamu, bahkan kamu sememangnya kaum yang melampaui batas.
31; (Dengan keadaan diri kita yang sedemikian) maka tetaplah di atas kita janji seksa (yang dijanjikan) oleh Tuhan kita, bahawa kita semua tentu akan merasai (azab itu).
32; (Dengan sebab ketentuan yang tersebut) maka kami pun mengajak kamu menjadi sesat, kerana sebenarnya kami adalah orang-orang sesat
33; Maka sesungguhnya mereka semua pada hari itu, menderita azab bersama.
34; Sesungguhnya demikianlah Kami melakukan kepada orang-orang yang berdosa.
35; Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya; (ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah mereka bersikap takbur mengingkarinya, –
36; Serta mereka berkata: Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?
37; (Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid) dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya).
38; Sesungguhnya kamu (wahai orang-orang musyrik) akan merasai azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
39; Dan kamu tidak dibalas melainkan (dengan balasan yang sepadan) dengan apa yang kamu telah kerjakan;
40; Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik,
41; Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum,
42; Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan,
43; Di dalam Syurga-syurga yang penuh melimpah dengan berjenis-jenis nikmat.
44; Mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin-pelamin kebesaran;
45; Diedarkan kepada mereka piala yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir,
46; Minuman itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-orang yang meminumnya,
47; Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya.
48; Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya;
49; (Putih kekuning-kuningan) seolah-olah mereka telur (Burung Kasawari) yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
50; (Tinggallah penduduk Syurga itu menikmati kesenangan), lalu setengahnya mengadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanyaan.
51; Seorang di antaranya berkata: Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku).
52; katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)?
53; Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan?
54; (Setelah menceritakan perihal rakannya itu) dia berkata lagi: Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)?
55; Maka dia pun memandang (ke arah Neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah Neraka yang menjulang-julang.
56; Dia pun (menempelaknya dengan) berkata: Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan.
57; Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayat petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab).
58; (Kemudian dia berkata kepada rakan-rakanya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): Bukankah kita (setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi;
59; Selain dari kematian kita yang dahulu dan kita juga tidak akan terkena seksa?
60; Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar.
61; Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).
62; Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum?
63; Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat).
64; Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar Neraka yang marak menjulang;
65; Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan;
66; Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya.
67; Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi (selain itu) satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak.
68; Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam Neraka yang menjulang-julang.
69; Sebenarnya mereka telah mendapati datuk nenek mereka berada dalam kesesatan;
70; Lalu mereka terburu-buru menurut jejak langkah datuk neneknya.
71; Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga sebelum kaummu (wahai Muhammad) kebanyakan kaum-kaum yang telah lalu.
72; Pada hal, demi sesungguhnya, Kami telahpun mengutus dalam kalangan kaum-kaum itu, Rasul-rasul pemberi amaran.
73; Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan Rasul-rasul Kami) setelah diberi amaran, –
74; Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan).
75; Dan demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik yang kabulkan doa permohonan.
76; Dan Kami telah selamatkan dia bersama-sama dengan keluarga dan pengikut-pengikutnya, dari kesusahan yang besar.
77; Dan Kami jadikan zuriat keturunannya sahaja orang-orang yang tinggal hidup (setelah Kami binasakan kaumnya yang ingkar).
78; Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
79; Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam !
80; Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik.
81; Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
82; Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mendustakannya).
83; Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim.
84; Ketika dia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci murni.
85; Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: Apa yang kamu sembah?
86; Patutkah kamu menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah, kerana kamu memutar belitkan kebenaran semata-mata (bukan kerana benarnya)?
87; Maka bagaimana fikiran kamu pula terhadap Allah Tuhan sekalian alam?
88; Kemudian dia memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di langit),
89; Lalu berkata: Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama).
90; Setelah (mendengar kata-katanya) itu, mereka berpaling meninggalkan dia.
91; Lalu dia pergi kepada berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta dia bertanya (kepada berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): Mengapa kamu tidak makan?
92; Mengapa kamu tidak menjawab?
93; Lalu dia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul).
94; (Setelah kaumnya mengetahui hal itu) maka datanglah mereka beramai-ramai kepadanya.
95; (Bagi menjawab bantahan mereka), dia berkata: Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat?
96; Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!
97; (Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu.
98; Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya).
99; Dan Nabi Ibrahim pula berkata: Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Dia akan memimpinku (ke jalan yang benar).
100; Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!
101; Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar.
102; Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.
103; Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),
104; Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim!
105; Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
106; Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;
107; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;
108; Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
109; Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!.
110; Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
111; Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
112; Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh.
113; Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.
114; Dan demi sesungguhnya! Kami telah melimpahkan nikmat pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.
115; Dan Kami selamatkan keduanya dan kaumnya dari kesusahan yang besar;
116; Dan Kami menolong mereka sehingga menjadilah mereka orang-orang yang berjaya mengalahkan (lawannya);
117; Dan Kami berikan kepada keduanya Kitab Suci yang amat jelas keterangannya;
118; Dan Kami berikan hidayat petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus.
119; Dan Kami kekalkan bagi keduanya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
120; Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun!
121; Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
122; Sesungguhnya mereka berdua adalah dari hamba-hamba Kami yang beriman.
123; Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
124; (Ingatkanlah peristiwa) ketika dia berkata kepada kaumnya: Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.
125; Patutkah kamu menyembah berhala Ba´la dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta?
126; Iaitu Allah Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu!
127; Maka mereka mendustakannya; akibatnya mereka tetap akan dibawa hadir (untuk diseksa),
128; Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan).
129; Dan Kami kekalkan bagi Nabi Ilyas (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
130; Salam sejahtera kepada Nabi Ilyas!
131; Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
132; Sesungguhnya Nabi Ilyas itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
133; Dan sesungguhnya Nabi Lut adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
134; (Ingatkanlah peristiwa) ketika kami selamatkan dia dan keluarga serta pengikut-pengikutnya semuanya,
135; Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang dibinasakan.
136; Kemudian Kami hancurkan yang lain (dari pengikut-pengikut Nabi Lut).
137; Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): Berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi.
138; Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?.
139; Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
140; (Ingatkanlah peristiwa) ketika dia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat.
141; (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah dia dari orang-orang yang kalah yang digelungsurkan (ke laut).
142; Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditempelak.
143; Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih),
144; Tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.
145; Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang dia berkeadaan sakit.
146; Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar.
147; Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih.
148; (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).
149; (Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan dan untuk mereka anak-anak lelaki?
150; Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu perempuan?
151; Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata:
152; Allah beranak; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta!
153; (Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak dan anak itu pula ialah anak-anak perempuan yang kamu tidak sukai?) Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak-anak perempuan dari anak-anak lelaki (sedang kedua-dua jenis itu Dialah yang menciptakannya)?
154; Apa sudah jadi kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?
155; Setelah ditegur, maka tidakkah kamu mahu berusaha mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagiNya anak-pinak)?
156; Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti yang nyata (menerangkan bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah)?
157; (Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar.
158; (Mereka telah mengatakan perkara yang mustahil) serta mengadakan pertalian kerabat di antara Allah dan malaikat, padahal demi sesungguhnya malaikat itu sedia mengetahui bahawa sebenarnya orang-orang yang melakukan demikian akan dibawa hadir (ke dalam azab pada hari akhirat).
159; Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu!
160; Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, (maka mereka akan terselamat dan akan mendapat sebaik-baik balasan).
161; Maka sebenarnya kamu (wahai orang-orang musyrik) dan apa yang kamu sembah itu.
162; Tidak akan dapat merosakkan perhubungan seseorang dengan Tuhannya;
163; Kecuali orang-orang yang telah ditetapkan bahawa dia akan dibakar di dalam Neraka yang menjulang-julang.
164; (Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata): Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya);
165; Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadat),
166; Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa bertasbih (mensucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan)!
167; Dan sebenarnya mereka (yang musyrik) itu dahulu pernah berkata:
168; Kalaulah ada di sisi kami Kitab Suci dari (bawaan Rasul-rasul) yang telah lalu
169; Tentulah kami akan menjadi hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik!
170; (Setelah Al-Quran diturunkan kepada mereka) mereka mengingkarinya; oleh itu mereka akan mengetahui kelak (akibat kekufurannya).
171; Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul –
172; Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan
173; Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran).
174; Oleh itu berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa.
175; Dan lihat (apa yang akan menimpa) mereka; tidak lama kemudian mereka akan melihat (kemenangan yang telah Kami tetapkan untukmu).
176; Maka tidaklah patut mereka meminta disegerakan azab (yang telah ditetapkan oleh) Kami!
177; Kerana apabila azab itu turun dalam daerah dan kawasan mereka, sudah tentu buruklah hari orang-orang yang tidak mengindahkan amaran yang telah diberikan.
178; Dan berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa.
179; Dan lihatlah (apa yang akan jadi); tidak lama kemudian, mereka pun akan melihat juga.
180; Akuilah kesucian Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, dari apa yang mereka katakan!
181; Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian Rasul.
182; Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

Pages ( 37 of 114 ): « Previous1 ... 3536 37 3839 ... 114Next »