Malay Quran | Baca Al-Quran

Chapter 82 (Sura 82)
1; Apabila langit terbelah;
2; Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan;
3; Dan apabila lautan pecah bercampur-baur;
4; Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan;
5; (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.
6; Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha. Pemurah?
7; Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya;
8; Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Dia menyusun kejadianmu.
9; Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan.
10; Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,
11; (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu);
12; Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.
13; (Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: Untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) kerana sesungguhnya: Orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;
14; Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam Neraka yang menjulang-julang.
15; Mereka menderita bakaran Neraka itu pada hari pembalasan,
16; Dan mereka (sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya.
17; Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?
18; Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?
19; (Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.

Pages ( 82 of 114 ): « Previous1 ... 8081 82 8384 ... 114Next »