Malay Quran | Baca Al-Quran

Chapter 81 (Sura 81)
1; Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);
2; Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak;
3; Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);
4; Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar;
5; Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;
6; Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;
7; Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya;
8; Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: Ditanya,
9; Dengan dosa apakah dia dibunuh?
10; Dan apabila surat-surat amal dibentangkan;
11; Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya;
12; Dan apabila Neraka dinyalakan menjulang;
13; Dan apabila Syurga didekatkan;
14; (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.
15; Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul;
16; Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya;
17; Dan malam, apabila ia hampir habis,
18; Dan siang, apabila ia mulai terang;
19; Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia,
20; Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy,
21; Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.
22; Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah dia seorang gila (seperti yang kamu tuduh);
23; Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.
24; Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib.
25; Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.
26; (Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)?
27; Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam:
28; Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul.
29; Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

Pages ( 81 of 114 ): « Previous1 ... 7980 81 8283 ... 114Next »