Malay Quran | Baca Al-Quran

Chapter 74 (Sura 74)
1; Wahai orang yang berselimut!
2; Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
3; Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!
4; Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.
5; Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
6; Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.
7; Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!
8; Kerana apabila telah ditiup sangkakala,
9; Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar –
10; Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya).
11; (Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak),
12; Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak,
13; Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.
14; Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya.
15; Kemudian dia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi;
16; Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami).
17; Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya.
18; Kerana sesungguhnya dia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran) –
19; Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)?
20; Sekali lagi: Binasalah dia hendaknya! Bagaimana dia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)?
21; Kemudian dia merenung dan memikirkan (berkali-kali: Jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi dia gagal);
22; Setelah itu dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam berkerut;
23; Kemudian dia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh,
24; Serta dia berkata: (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya);
25; Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!
26; (Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam Neraka Saqar.
27; Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan Neraka Saqar itu?
28; Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa dan tidak membiarkannya (binasa terus)
29; Ia terus-menerus membakar kulit manusia!
30; Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).
31; Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal Neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami) dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran) dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu) dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini? Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dialah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) Neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.
32; Sebenarnya! Demi bulan,
33; Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri,
34; Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang,
35; Sesungguhnya Neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar,
36; Yang menjadi amaran bagi umat manusia,
37; (Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam mengerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada mengerjakannya).
38; Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya,
39; Kecuali puak Kanan,
40; (Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya,
41; Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah,
42; (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (Neraka) Saqar?
43; Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;
44; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;
45; Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;
46; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,
47; Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini.
48; Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.
49; (Kalau demikianlah halnya orang-orang yang bersalah), maka mengapa mereka berpaling lari dari peringatan (Al-Quran) ?
50; Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang lari,
51; Melarikan diri (ketakutan) dari singa!
52; (Mereka tidak merasa cukup dengan peringatan itu) bahkan tiap-tiap seorang di antaranya mahu supaya diberi kepadanya lembaran surat yang terbuka (yang diturunkan dari langit untuk dibaca oleh mereka sendiri).
53; Sebenarnya! (Bukan kerana kemahuan mereka tidak berhasil), bahkan mereka (tidak percaya dan) tidak takut akan hari akhirat.
54; Ketahuilah! Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar pengajarannya);
55; Oleh itu sesiapa yang mahu (beringat) dapatlah dia mengambil peringatan daripadanya.
56; Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dialah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya dan Dialah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat).

Pages ( 74 of 114 ): « Previous1 ... 7273 74 7576 ... 114Next »