Malay Quran | Baca Al-Quran

Chapter 79 (Sura 79)
1; Demi (makhluk-makhluk) yang mencabut (apa yang ditugaskan mencabutnya) dengan cara yang sekasar-kasarnya;
2; Dan yang menarik (apa yang ditugaskan menariknya) dengan cara yang selembut-lembutnya;
3; Dan demi (makhluk-makhluk) yang cergas bergerak (menerima perintah) dengan gerak yang secergas-cergasnya;
4; Lalu masing-masing berlumba-lumba dahulu-mendahului (menjalankan tugasnya) dengan cara yang sesungguh-sungguhnya;
5; Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya; (sumpah demi sumpah, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat).
6; Pada masa berlakunya tiupan sangkakala yang pertama yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan),
7; Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua, (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing);
8; Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut,
9; Pemandangannya tunduk gerun.
10; Mereka (yang ingkar) berkata: Sungguhkah kita akan dikembalikan hidup seperti keadaan di dunia dahulu?
11; Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput?
12; Mereka berkata lagi (secara mengejek: Kalaulah berlaku) yang demikian, sudah tentu kembalinya kita (hidup semula) itu satu perkara yang merugikan!
13; (Menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua);
14; Yang menyebabkan mereka dengan serta-merta berada di muka bumi yang putih rata.
15; Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?
16; Ketika dia diseru oleh Tuhannya di “Wadi Tuwa” yang suci;
17; (Lalu diperintahkan kepadanya): Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya);
18; Serta katakanlah kepadanya: Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)?
19; Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)?
20; (Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun: Mukjizat yang besar.
21; Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah);
22; Kemudian dia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa).
23; Lalu dia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru;
24; Dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi.
25; Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya.
26; Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya).
27; (Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)!
28; Dia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnaKannya,
29; Dan Dia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang.
30; Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya);
31; Dia mengeluarkan dari bumi itu: Airnya dan tumbuh-tumbuhannya;
32; Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya);
33; (Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.
34; Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar;
35; Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya;
36; Dan Neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya;
37; Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya);
38; Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata;
39; Maka sesungguhnya Neraka Jahannamlah tempat kediamannya.
40; Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu;
41; Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.
42; Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya?
43; Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?
44; Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya.
45; Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.
46; (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: Seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.

Pages ( 79 of 114 ): « Previous1 ... 7778 79 8081 ... 114Next »