Malay Quran | Baca Al-Quran

Chapter 88 (Sura 88)
1; Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal hari kiamat yang huru-haranya meliputi?
2; Muka (orang-orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana merasa hina,
3; Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah,
4; Mereka tetap menderita bakaran Neraka yang amat panas (membakar), –
5; Mereka diberi minum dari mata air yang menggelegak panasnya.
6; Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri,
7; Yang tidak menggemukkan dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun.
8; (Sebaliknya) muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri,
9; Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia), –
10; (Mereka tinggal menetap) di dalam Syurga tinggi (tempat kedudukannya darjatnya),
11; Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia,
12; Di dalam Syurga itu ada mata air yang mengalir,
13; Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya),
14; Dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka),
15; Dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berbaring atau bersandar),
16; Serta hamparan-hamparan yang terbentang.
17; (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?
18; Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.?
19; Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?
20; Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?
21; Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan;
22; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).
23; Akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta dia kufur ingkar;
24; Maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya.
25; Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka,
26; Selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.

Pages ( 88 of 114 ): « Previous1 ... 8687 88 8990 ... 114Next »