Malay Quran | Baca Al-Quran

Chapter 55 (Sura 55)
1; (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.
2; Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran.
3; Dialah yang telah menciptakan manusia; –
4; Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.
5; Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu;
6; Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya.
7; Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan,
8; Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;
9; Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.
10; Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain.
11; Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang;
12; Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami serta daun dan terdapat lagi bunga-bungaan yang harum;
13; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?
14; Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar,
15; Dan Dia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang;
16; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
17; (Dialah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.
18; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
19; Dia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;
20; Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;
21; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
22; Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan;
23; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
24; Dan Dialah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang;
25; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
26; Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa
27; Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.
28; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
29; Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Dia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!
30; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan)?
31; Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin!
32; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
33; Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!
34; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
35; Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu);
36; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
37; Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;
38; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan?
39; Pada masa itu tiada sesiapapun, samada manusia atau jin yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya);
40; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
41; Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke Neraka);
42; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
43; (Lalu dikatakan kepada mereka): Inilah Neraka Jahannam yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya.
44; Mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api Neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak panasnya!
45; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
46; Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga, –
47; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
48; (Dua Syurga) yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan; –
49; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
50; Pada kedua-dua Syurga itu terdapat dua mata air yang mengalir; –
51; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan.
52; Pada kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa).
53; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
54; Mereka (bersenang-senang di tempat masing-masing dalam Syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya dari sutera tebal yang bersulam dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.
55; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
56; Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin;
57; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
58; Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan.
59; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
60; Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?
61; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
62; Dan selain dari dua Syurga itu, dua Syurga lagi (untuk menjadi balasan bagi golongan peringkat yang kedua);
63; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
64; Kedua-duanya menghijau subur tanamannya;
65; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
66; Dalam kedua-dua Syurga itu terdapat dua mata air yang terus menerus memancutkan airnya:
67; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
68; Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima,
69; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
70; Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya;
71; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
72; Dia itu bidadari-bidadari yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing;
73; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
74; (Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin;
75; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
76; Penduduk Syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal dan) cadar-cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah.
77; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
78; Maha Sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.

Pages ( 55 of 114 ): « Previous1 ... 5354 55 5657 ... 114Next »