Malay Quran | Baca Al-Quran

Chapter 80 (Sura 80)
1; Dia memasamkan muka dan berpaling,
2; Kerana dia didatangi orang buta.
3; Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! –
4; Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.
5; Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran),
6; Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya.
7; Padahal engkau tidak bersalah kalau dia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).
8; Adapun orang yang segera datang kepadamu,
9; Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah);
10; Maka engkau berlengah-lengah melayaninya.
11; Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).
12; Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah dia mengambil peringatan daripadanya.
13; (Ayat-ayat Suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan;
14; Yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan);
15; (Terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Luh Mahfuz;
16; (Malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti.
17; Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya?
18; (Tidakkah dia memikirkan) dari apakah dia diciptakan oleh Allah?
19; Dari air mani diciptakannya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab;
20; Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang dia pilih);
21; Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya dia dikuburkan;
22; Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).
23; Janganlah hendaknya dia kufur ingkar lagi! Sebenarnya dia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya.
24; (Kalaulah dia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya):
25; Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan.
26; Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan;
27; Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian,
28; Dan buah anggur serta sayur-sayuran,
29; Dan zaitun serta pohon-pohon kurma,
30; Dan taman-taman yang menghijau subur,
31; Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput;
32; Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.
33; Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat;
34; Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,
35; Dan ibunya serta bapanya,
36; Dan isterinya serta anak-anaknya;
37; Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.
38; Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri,
39; Tertawa, lagi bersuka ria;
40; Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu,
41; Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita.
42; Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka.

Pages ( 80 of 114 ): « Previous1 ... 7879 80 8182 ... 114Next »